1. Telah tular semalam video sambutan kebudayaan yang memakai pakaian tradisi Melayu tetapi dihiasi dengan perwatakan seakan cenderung kepada kesongsangan. Sehinggakan mesej yang ingin dibawa dari sambutan ini telah menjadi kabur.
2. Lebih menyedihkan, yang menampilkan elemen songsang ini melibatkan warga Muslim sendiri sedangkan Allah secara jelas mengutuk perlakuan ini. Al-Quran menyifatkan kumpulan yang melakukan perbuatan songsang sebegini sebagai golongan yang melampau. Firman Allah:
إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ النِّسَاء بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ
“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.” (Surah al-A’raf: 81)
3. Andai sekiranya Allah menyifatkan perbuatan songsang ini sebagai perbuatan yang terkutuk yang dibenci oleh Allah, maka mengapa perlu kita melakonkan perbuatan tersebut yang secara tidak langsung menjadi medium promosi dan normalisasi perlakuan mungkar.
4. Bukan sekadar dikeji oleh Allah, Rasulullah turut melaknat kumpulan manusia yang melakukan perlakuan songsang ini. Sabda Rasulullah:
لَعَنَ اللهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ
“Allah melaknat mereka yang mengamalkan amalan kaum Lut.” (HR Ahmad – dinilai Sahih li Ghairihi oleh al-Arna’ut)
4. Kita sedia maklum bahawa perlakuan songsang sebegini bukan sahaja menyalahi agama, malah ia memberikan impak yang negatif terhadap kesihatan manusia. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, kebanyakan pengidap HIV kini berpunca dari hubungan songsang.
5. Perubahan lanskap data pengidap HIV ini menunjukkan betapa seriusnya masalah yang dihadapi oleh negara dalam menangani gejala hubungan seks sejenis. Barangkali inilah kebimbangan yang pernah dinyatakan oleh Baginda Nabi. Sabda Rasulullah:
إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَى أُمَّتِي عَمَلُ قَوْمِ لُوطٍ
“Antara perkara yang paling aku takuti (bimbangi) dikalangan umat aku adalah perlakuan kaum Nabi Lut.”
6. Oleh yang demikian, andai jelas perlakuan terkutuk ini dibenci oleh Allah, malah memberikan impak negatif kepada kesihatan manusia, maka apa perlunya lagi kita mempromosikan unsur-unsur yang berupaya membawa kepada kemungkaran?
7. Tidak kira samada kita adalah penerbit filem atau pelakon yang memainkan watak bertemakan gay, adalah menjadi tanggungjawab seorang Muslim untuk tidak terlibat dalam perlakuan berunsur mempromosikan kemungkaran.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
